GEORGETOWN - Dilema Melayu kembali. Itulah yang berlaku dalam masyarakat Melayu masa kini yang berpecah gara-gara parti politik.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pihaknya kecewa kerana perpecahan mula berlaku apabila masing-masing cuba menunjuk hebat dengan menubuhkan pelbagai parti politik.
“Mereka menubuhkan parti kerana mahu memegang politik. Apabila berjaya memegang politik, mereka akan kuasai negara sekali gus menguasai segala-galanya. Sebab itulah banyak parti diwujudkan.
“Namun sedarkah kita, dengan adanya pelbagai parti politik ini menyebabkan kaum Melayu mula berpecah. Keadaan semakin kritikal apabila perpaduan dalam kalangan Melayu sendiri semakin tergugat. Apa hendak jadi?,” katanya.
Menurut Yussof, Pemenang yang bertapak hampir 90 tahun di negara ini pernah melihat Melayu berpecah akibat kenegerian.
"Sikap Melayu yang tidak bersatu hanya merugikan anak cucu pada masa akan datang” katanya.
Yussof yang juga veteran Umno berkata, kaum Melayu tidak boleh menolak jasa Umno yang berusaha membantu anak-anak Melayu, termasuk menerusi penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang membantu melahirkan ramai golongan profesional Melayu sehingga kini.
Bagaimanapun katanya, masyarakat juga tidak boleh menafikan ada sesetengah muda yang ‘memberontak’ apabila menyebut Umno.
“Kita tidak boleh salahkan mereka kerana golongan ini memerhatikan tindakan pemimpin sekarang yang membuatkan mereka bosan sehingga berlaku kekeliruan dalam kalangan anak muda Melayu.
“Cukup-cukuplah dengan pangkat, harta, kedudukan dan sebagainya. Ia hanya sementara, fikirkanlah demi anak bangsa sendiri,” katanya. sumber http://www.sinarharian.com.my/politik/dilema-melayu-kembali-berpecah-sebab-parti-politik-1.600505
0 Response to "Dilema Melayu kembali, berpecah sebab parti politik"
Post a Comment